Oleh: Emin Madi
KUNDASANG: Lunsin Koroh yang berusia 80 tahun merupakan 'Bobolian' atau pawang khas masyarakat Kadazandusun, yang tugasnya bukan merawat orang sakit tetapi "mendampingi" makhluk halus yang dipercayai menjadi penunggu Gunung Kinabalu.
Sejak berdekad lamanya, Lunsin telah diamanahkan untuk melakukan upacara adat kuno itu di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu bagi satu tujuan khusus - untuk "mententeramkan" penunggu gunung itu dalam memastikan laluan yang selamat kepada para pendaki.
Pada masa lepas, Lunsin akan mendaki dan melakukan upacara itu di Panar Laban (kira-kira 3,353 meter tinggi) tetapi akhir-akhir ini berikutan usia yang semakin lanjut, Lunsin memilih kawasan atas bukit kecil dekat Timpohon Gate, tempat pendaki memulakan pendakian.
"Saya sudah terlalu tua untuk mendaki gunung ini sekarang tetapi disebabkan khidmat saya masih diperlukan (untuk mententeramkan penunggu) saya memutuskan untuk melakukan upacara itu di kawasan kaki gunung," kata Lunsin yang menjalankan upacara itu di Timpohon Gate, baru-baru ini.
Menyaksikan lelaki berusia ini melakukan upacara itu membuatkan penulis teringat semula pengalaman sebelum ini ketika membuat liputan upacara itu pada pertengahan 80am, semasan Lunsin, dengan dibantu sekumpulan jurupandu gunung melakukan "persembahan" di Panar Laban, tempat pendaki bermalam satu malam sebelum meneruskan pendakian terakhir ke puncak pada waktu subuh keesokannya.
Lunsin sendiri sebelum ini merupakan jurupandu gunung tetapi oleh kerana kebolehannya sebagai seorang 'bobolian' yang diwarisinya daripada nenek moyangnya, beliau akhirnya secara rasmi menjadi 'mononolob' atau pawang gunung.
Untuk melakukan upacara itu, Lunsin sentiasa ditemani 'komburongoh' atau tangal ajaib, berupa alat mistik, dipercayai terdiri daripada koleksi tumbuhan spesies luar biasa yang dikatakan dikawal oleh makhluk halus. Upacara itu memerlukan tujuh ekor ayam putih, telur, pinang dan tembakau.
Untuk melakukan upacara itu, Lunsin akan memakai pakaian serba hitam, mula-mula menggoncangkan 'komburongoh' dan diikuti dengan jampi serapah yang agak lama dalam bahasa Dusun.
Sesekali pawang itu kedengaran memanggil nama-nama "penunggu" gunung itu, khususnya 'kinomburawan' yang menurut Lunsin, raja makhluk halus Gunung Kinabalu.
Kemudian, Lunsin, dengan bantuan seorang penduduk kampung, Douni Lajsou, menyembelih ayam berkenaan yang akan dibawa pulang untuk dimakan.
Sebagai menandakan upacara itu sudah sempurna, Lunsin memacakkan sebatang kayu yang hujungnya tajam tepat di tempat ayam putih berkenaan disembelih, yang menurutnya, akan bertindak sebagai senjata untuk menghukum sesiapa yang gagal mematuhi "perjanjian".
Upacara tradisi ini sudah diamalkan sekian lama iaitu sejak masyarakat Dusun yang mendiami lurah gunung di Bundu Tuhan, kira-kira 10km dari Taman Kinabalu, menjadi jurupandu gunung.
Seorang daripada jurupandu terkemuka pada 1940an ialah Gunting Lagadan, penghulu kampung Dusun, yang namanya dilakar pada sekeping penanda arah kayu di Low's Peak, puncak tertinggi gunung itu.
Lagadan dikatakan telah melakukan upacara yang sama bagi setiap pendakian.
Tidak dapat dipastikan sama ada kes pendaki hilang adalah kerana telah menjadi mangsa penunggu gunung itu atau kerana kecuaian sendiri, tetapi menurut Lunsin kejadian itu mungkin disebabkan kelakuan "tidak sopan" pendaki yang "menimbulkan kemarahan" penunggu gunung itu.
Pada 1976, seorang pelajar Tingkatan Lima dilaporkan hilang semasa mendaki Gunung Kinabalu dan pada 1989, dua lagi pendaki dari Sarawak turut mengalami nasib yang sama. Mayat mereka tidak pernah ditemui.
Kehilangan mereka yang penuh misteri itu berlaku pada ketika upacara untuk mententeramkan penunggu gunung itu, yang diamalkan dari satu generasi ke satu generasi, dihentikan tanpa sebab dari 1970 sehingga upacara itu dihidupkann semula pada 1993.
Masyarakat Kadazandusun, khususnya di kalangan mereka yang belum beragama, masih menganggap Gunung Kinabalu sebagai tempat bersemadi roh mereka yang telah meninggal dunia.
"Ia satu penghormatan dan saya berharap dapat terus melakukan upacara tradisi ini selagi saya masih terdaya," kata Lunsin dengan penuh mengharap.
Dengan purata 15,000 pelawat ke Taman Negara Kinabalu, Tapak Warisan Dunia, setiap bulan, Gunung Kinabalu kini merupakan destinasi pelancongan yang semakin popular, lebih-lebih lagi dengan adanya pertandingan International Climbathon yang menjadi acara tahunan.
--Bernama
No comments:
Post a Comment